Wednesday, 13 June 2012

Bab 7 : PERLEMBAGAAN MALAYSIA


7.1    PENGENALAN

7.1.1   DEFINISI

Perlembagaan ialah satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap penting bagi pemerintahan dan pentadbiran sesebuah Negara. Kini, Perlembagaan Malaysia mengandungi sebanyak 183 Perkara yang tergolong dalam 15 Bahagian. Antara kandungannya menyebut mengenai kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, bentuk dan tugas Yang di-Pertuan Agung, Parlimen, Kabinet.


7.1.2     KONSEP KETERTINGGIAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah undang-undang tertinggi Negara dan menjadi punca kepada semua undang-undang. Oleh itu, untuk memastikan ketertinggian perlembagaan ini kekal, maka beberapa garis panduan telah ditetapkan dan dipatuhi iaitu:

i.              Perlembagaan menentukan apakah Perkara Persekutuan yang kerajaan Persekutuan boleh lakukan dan Perkara Negeri yang kerajaan negeri boleh lakukan.
ii.             Perlembagaan menentukan apakah perkara bersama yang membolehkan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri membuat undang-undang mengenainya. Contohnya undang-undang yang boleh dibuat oleh Parlimen ialah pertahanan, pelajaran, hal ehwal luar negara dan sebagainya. Jika parlimen campur tangan dalam pembentukan undang-undang di luar perkara Persekutuan maka undang-undang tersebut adalah tidak sah.
iii.            Kedudukan YDPA sebagai ketua negara, lambang  taat setia rakyat, lambang negara, ketua Parlimen, ketua pemerintah dan sebagainya. Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada halangan-halangan yang dikenakan oleh Perlembagaan. Baginda adalah raja berperlembagaan iaitu bertindak mengikut nasihat jemaah Menteri.
iv.           Kuasa kehakiman juga tertakluk kepada sekatan-sekatan yang dikenakan oleh perlembagaan. Kuasa YDPA sebagai ketiga-tiga cabang kerajaan (perundangan, pentadbiran dan kehakiman) juga tertakluk kepada sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Perlembagaan.
v.            Kerajaan tidak boleh membuang negara seseorang warganegara, tidak boleh menahan seorang warganegara dari pulang ke tanahairnya dan tidak boleh memaksa seseorang itu menjadi buruh paksa dan tidak boleh memenjarakan mana-mana individu melainkan menurut undang-undang.







7.1.3   PERUNTUKAN UTAMA DALAM PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan dibentuk dengan mengambil kira perkembangan sejarah Negara sebelum dan selepas penjajahan. Hal ini diambil kira bagi merealisasikan cita-cita mewujudkan sebuah Negara yang demokrasi dan adil untuk semua pihak. Beberapa perkara telah diletakkan sebagai peruntukan utama dalam perlembagaan seperti kewarganegaraan, agama, bahasa, kedudukan istimewa orang Melayu dan kebebasan asasi.


7.2    HAK-HAK ASASI

Kebebasan asasi seseorang individu adalah diperuntukan dalam Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan asasi boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kebebasan mutlak dan kebebasan terhad . Kebebasan asasi hanya boleh diubah dengan majorit dua pertiga daripada jumlah kesemua ahli Dewan Perundangan. Perkara-perkara kebebasan asasi adalah seperti berikut:

7.2.1     KEBEBASAN DIRI

Perkara mengenai kebebasan diri telah diperuntukan dalam Fasal 1, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tidak seorang pun boleh diambil nyawanya dan dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.[1] Seseorang yang ditangkap perlu diberitahu dengan seberapa segera sebab-sebab dia ditangkap dan dia dibenarkan untuk membela diri oleh seorang peguam yang dipilih olehnya sendiri. Selain itu, seseorang yang ditangkap dan tidak dilepaskan hendaklah dibawa kehadapan seorang majistret dalam masa 24 jam.


7.2.2     KEABDIAN DAN KERJA PAKSA

Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, memperuntukkan bahawa tidak seorang pun boleh ditahan sebab abdi dan kerja paksa.[2] Segala jenis kerja paksa adalah dilarang tetapi parlimen boleh dengan undang-undang, membuat peruntukan bagi perkhidmatan kerahan  untuk maksud-maksud Negara. Kerja yang berkaitan dengan menjalankan hukuman penjara tidaklah dianggap sebagai kerja paksa.


7.2.3     KESAMARATAAN DI SISI UNDANG-UNDANG

Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama. Fasal 2 memperuntukkan seseorang warganegara itu tidak boleh dibezakan semata-mata atas sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir. Walaubagaimanapun pengecualian terdapat dalam Perkara 153 yang memperuntukan layanan istimewa bagi orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain di Sabah dan Sarawak dalam beberapa lapangan seperti pemegangan jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa-biasiswa dan pengeluaran permit serta lesen.


7.2.4     LARANGAN BUANG NEGERI DAN KEBEBASAN BERGERAK

Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukan bahawa tidak seorang pun warganegara yang boleh dibuang negeri atau ditahan daripada masuk ke dalam Persekutuan. Setiap warganegara berhak bergerak dengan bebasnya dan bermastautin di mana-mana bahagian Persekutuan. Walaubagaimanapun hal ini tertakluk kepada undang-undang imegresen yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak. Keadaan ini tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan denga keselamatan Persekutuan seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan hukuman yang dikenakan kepada pesalah.


7.2.5     KEBEBASAN BERCAKAP, BERHIMPUN DAN MENUBUHKAN PERSATUAN

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukan kebebasan kepada semua warganegara untuk bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan[3].  Namun demikian, parlimen boleh  mengenakan sekatan tertentu bagi kepentingan keselamatan, ketenteraman awam atau moral. Adalah menjadi satu kesalahan untuk menyoal perkara-perkara sensitif seperti hak-hak keistimewaan orang Melayu dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.


7.2.6     KEBEBASAN BERAGAMA

Sungguhpun Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, tetapi setiap warganegara Malaysia berhak mengamalkan agama masing-masing. Setiap Individu berhak untuk mengembangkan agamanya, tetapi undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama dikalangan orang yang menganut agama Islam. Walau bagaimanapun, kebebasan diberikan kepada kerja-kerja mubaligh di kalangan orang bukan Islam.[4]

Manakala di Sabah dan Sarawak pula, undang-undang negeri yang ingin menyekat apa-apa agama, iktikad dan kepercayaan di kalangan orang Islam berkehendakkan undi sebanyak 23 daripada jumlah bilangan anggota Dewan Undangan Negeri. Tiap-tiap kumpulan agama berhak untuk:

i.              Menguruskan hal-ehwal agamanya sendiri.
ii.             Menubuh dan menyelenggara yayasan-yayasan bagi maksud agama dan khairat.
iii.            Memperoleh dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
7.2.7     KESAMARATAAN DALAM PELAJARAN

Perkara 12 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan tentang hak mengenai pelajaran. Tidak terdapat sebarang perbezaan terhadap mana-mana warganegara semata-mata kerana agama, kaum, keturunan, tempat lahir untuk mendapatkan pendidikan, iaitu:

i.              Dalam pentadbiran mana-mana yayasan pelajaran yang diselenggara oleh suatu pihak berkuasa awam tentang kemasukan murid-murid atau pelajar mengenai bayaran.
ii.             Tentang memperuntukkan kewangan dan bantuan kewangan pihak berkuasa awam bagi menanggung atau membiayai murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana yayasan pelajar tertakluk kepada Perkara 153.[5]

Tiap-tiap kumpulan agama diberi kebebasan untuk menubuh dan menyelenggara yayasan-yayasan untuk pelajaran kanak-kanak atau mengenai agama kumpulan itu. Selain itu, tidak terdapat perbezaan semata-mata sebab agama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan yayasan itu, tetapi dalam undang-undang persekutuan dan negeri, boleh mengadakan bantuan kewangan khas bagi menyelenggara Yayasan Islam atau mengajar mengenai agama Islam kepada penganutnya. Tidak seorang pun diwajibkan menerima apa-apa ajaran mengenai apa-apa agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang bagi sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri.


7.2.8     HAK UNTUK BERHARTA

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan tidak seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali menurut undang-undang. Undang-undang juga tidak boleh membuat peruntukan untuk mengambil atau menggunakan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi[6].


7.2.9     PERLINDUNGAN DARIPADA UNDANG-UNDANG JENAYAH YANG BERKUAT KUASA KEBELAKANGAN DAN PERBICARAAN BERULANG

Perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuat kuasa kebelakangan dan perbicaraan berulang Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Melalui Perkara 7, memperuntukkan tidak seorang pun yang boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan yang tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang pada  masa perbuatan itu dilakukan dan tidak sesiapa juga boleh menanggung hukuman yang lebih berat bagi sesuatu kesalahan daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan.

Fasal 2 memperuntukkan bahawa seseorang yang telah dibebaskan ataupun disabitkan dengan kesalahan tidak boleh dibicarakan sekali lagi di atas kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh mahkamah atasan mengenai perkara yang dia telah dibebaskan ataupu disabitkan kesalahan itu.  


7.3   KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU SERTA HAK KAUM BUMIPUTERA YANG LAIN

Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, orang Melayu ditakrifkan sebagai:

i.              Seorang yang beragama Islam,
ii.             Bertutur bahasa Melayu,
iii.            Mengamalkan adat istiadat Melayu,
iv.           Lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.[7]

Manakala Bumiputera di Sabah dan Sarawak (termasuk bukan Melayu) termasuk golongan yang menerima keistimewaan seperti mana yang diperoleh orang Melayu di Semenanjung. Dalam hal ini, walaupun sesuatu keistimewaan diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, kepentingan bagi kaum lain juga hendaklah dilindungi. Antara perkara yang termasuk dalam soal hak keistimewaan orang melayu sebagai bumiputera ialah:


7.3.1     PERKHIDMATAN AWAM

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan tanggungjawab kepada YDPA atas nasihat Jemaah Menteri untuk menentukan perizaban bagi orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Amat penting untuk YDPA merizabkan untuk orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak  suatu kadar bilangan jawatan yang berpatutan dalam perkhidmatan awam persekutuan memandangkan sebelum ini bilangan orang Melayu yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan sangat kurang. Pada masa Tanah Melayu dijajah oleh British, kebanyakan jawatan-jawatan rendah dalam pentadbiran dipegang oleh orang-orang India dan Sri Lanka yang mahir bertutur dalam bahasa Inggeris. Manakala jawatan-jawatan tinggi pula dipegang oleh orang British. Penduduk pribumi pula bekerja sebagai nelayan dan petani. Untuk memperbaiki keadaan ini, para perwakilan daripada kaum Melayu, Cina dan India yang merangka  perlembagaan telah sepakat bahawa bilangan orang Melayu dalam pentadbiran mestilah ditambah dan diberi keutamaan.[8]




7.3.2     LAPANGAN EKONOMI

 Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menghuraikan tentang keistimewaan khas orang Melayu dan Bumipetera Sabah dan Sarawak dalam lapangan ekonomi. Dalam hal ini undang-undang Persekutuan menggariskan jika sesuatu permit atau lesen yang dikehendaki bagi menjalankan urusan perniagaan dan perdagangan, YDPA hendaklah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan permit atau lesen bagi menentukan kadar perizaban kepada orang Melayu.

Peruntukan ini adalah untuk menolong orang Melayu melibatkan diri dalam bidang perdagangan dan perindustrian memandangkan selama ini orang Melayu ketinggalan dalam bidang ekonomi. Semenjak penjajahan British sehinggalah kemerdekaan, orang Melayu masih kurang menceburkan diri dalam perdagangan dan perniagaan. Usaha kerajaan adalah untuk menghapuskan pengenalan bangsa mengikut pekerjaan, terutama bidang perniagaan yang kebanyakannya didominasi oleh bangsa asing. Usaha kerajaan selanjutnya ialah pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970-an dengan harapan orang Melayu akan memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah kegiatan perdagangan dan perindustrian di Negara ini.[9]


7.3.3     PENDIDIKAN

Bagi mengelakkan orang Melayu ketinggalan dalam bidang ekonomi, pembelaan pendidikan orang Melayu sangat penting. Ini memandangkan nasib orang Melayu dalam bidang ekonomi bergantung pada pendidikan. Justeru, kemudahan khas perlu diadakan kepada orang Melayu agar dapat bersaing dengan kaum lain khasnya dalam bidang ekonomi.

Fasal 2 Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan YDPA bertanggungjawab untuk melindung kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan perizaban kepada mereka seperti biasiswa, bantuan dan keistimewaan-keistimewaan pelajaran dana lain-lain kemudahan pelajaran yang diadakan oleh kerajaan Persekutuan. Dalam hal ini, YDPA boleh memberi arahan kepada mana-mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

Walau bagaimanapun, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan perlindungan untuk kepentingan kaum lain. Misalnya Fasa 4, memperuntukkan YDPA tidak boleh memberhentikan apa-apa biasiswa, bantuan dan keistimewaan pelajaran kepada mana-mana orang selain orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Salah satu peruntukan utama untuk orang Melayu ialah kemasukan anak-anak Melayu ke universiti dan skim biasiswa.      



7.4    PROSES PILIHANRAYA


Pilihan Raya di Malaysia dijalankan bagi menunjukkan bahawa negara mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Sistem pilihan raya mula diperkenalkan pada tahun 1955 dan terus diadakan setiap lima tahun sekali sehingga kini. Fungsi utama pilihanraya adalah:

i.              Untuk menentukan pemindahan kuasa tanpa kekerasan dan pertumpahan darah.
ii.             Menunjukkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi.

Di Malaysia, terdapat dua bentuk pilihan raya iaitu Pilihan Raya Umum  dan pilihan Raya Kecil dan segala urusan pilihan raya diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.


7.4.1   PENAMAAN CALON DAN BERKEMPEN


Beberapa syarat perlu dipatuhi bagi calon yang bertanding dalam pilihan raya samada di peringkat Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, iaitu:

i.              Berumur 21 tahun ke atas,
ii.             Warganegara Malaysia,
iii.            Berakal/ Waras,
iv.           Tidak sabit kesalahan oleh mana-mana mahkamah (penjara satu tahun atau denda lebih RM2000),
v.            Tidak memegang mana-mana jawatan bergaji,
vi.           Tidak muflis,
vii.          Bermastautin secara tetap dalam kawasan pilihanraya dan telah mendaftar sebagai pengundi.

Pilihanraya hanya akan diadakan sekiranya terdapat lebih dari calon yang didaftarkan untuk bertanding dalam satu kawasan piliharaya, jika tidak calon akan dianggap sebagai menang tanpa bertanding. Calon boleh bertanding atas nama parti atau perseorangan.

Pada hari penamaan calon, bakal calon perlu menyerahkan beberapa dokumen kepada pegawai bertugas, seperti:

i.              Kertas penamaan calon, diserahkan antara jam 9.00 pagi hingga jam 11.00 pagi pada hari penamaan calon.
ii.             Wang pertaruhan sebanyak RM 10,000 untuk calon Dewan Undangan Negeri dan RM 30,000 untuk calon Parlimen. Wang disertakan bersama-sama kertas penamaan calon.
iii.            Wang pertaruhan akan hilang sekiranya calon gagal mendapat undian sekurang-kurangnya satu perlapan daripada jumlah undi yang diperoleh semua calon dalam bahagian piliharaya tersebut.
iv.           Calon yang bertanding atas nama parti politik boleh menggunakan simbol parti masing-masing, manakala calon bebas boleh menggunakan simbol-simbol yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya[10].

Semasa berkempen, calon-calon dikehendaki mematuhi etika pilihanraya bagi memastikan suasana aman dan tenteram. Pada waktu ini, mereka dibenarkan membelanjakan RM 50,000.00 bagi pilihan raya Dewan Rakyat dan RM 30,000.00 bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri. Selain itu, semasa berkempen mereka dibenarkan menggunakan kaedah mereka sendiri untuk memancing pengundi seperti mengedarkan risalah, surat, pelekat, poster, ceramah atau berkempen dari rumah ke rumah. Walau bagaimanapun, mereka tertakluk kepada beberapa syarat iaitu:

i.              Tidak menggunakan tingkah laku atau peribadi seseorang sebagai bahan untuk berkempen dan memancing undi.
ii.             Memastikan semua risalah atau bahan bercetak mengandungi alamat pencetak dan penerbit.
iii.            Dilarang memberi rasuah dan sogokan.
iv.           Dihalang menggunakan kekerasan, paksaan atau halangan[11].


7.4.2     PENGUNDIAN

Sebelum keluar mengundi, pengundi perlu mendaftarkan diri dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Selain itu, pengundi juga tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan iaitu:

i.              Warganegara Malaysia,
ii.             Berumur 21 tahun ke atas,
iii.            Bermastautin di sesuatu bahagian pilihan raya,
iv.           Mengundi dalam satu bahagian pilihanraya sahaja[12].

Bagi warganegara yang berada diluar kawasan pilihanraya, mereka dibenarkan mengundi melalui pos. Antara individu yang dibenarkan untuk mengundi pos ialah:

i.              Anggota perkhidmatan awam,
ii.             Pegawai SPR yang bertugas pada hari pengundian,
iii.            Anggota Polis,
iv.           Pegawai tentera yang berugas di perbatasan/ hutan belentara,
v.            Pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar Negara semasa pengundian dijalankan[13].




Selain itu, individu juga boleh hilang kelayakan untuk mengundi sekiranya beliau:

i.              Tidak sempurna akal.
ii.             Sedang menjalani hukuman penjara.
iii.            Dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah[14].





Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan
calon dan mengundi
Penamaan calon 14 hari sebelum tarikh pilihan raya

Kempen pilihan raya

Menyiapkan manifesto

 



Suruhanjaya Pilihan Raya memberitahu tempat mengundi dan tempat mengira undi




Tempat mengundi
Diberi kertas undi
memangkah calon yang dipilih
kertas dimasukkan ke dalam peti undi

           








Tempat mengira undi




Pengumuman keputusan pilihan raya oleh Pegawai Pilihan Raya





Rajah 1: Proses Pilihanraya Malaysia[15];
Pengundian hanya boleh dijalankan di tempat-tempat yang telah diwartakan sahaja. Setiap pusat mengundi akan diketuai oleh seorang ketua yang dilantik oleh SPR untuk menyelia semua urusan pengundian.


7.4.3     PENGIRAAN UNDI

Proses pengiraan undi akan dilakukan pada tempat mengundi atau berkelompok dan undi-undi pos bagi setiap bahagian pilihan raya dikira ditempat yang ditetapkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.        
           
Semasa pengiraan dan penjumlahan undi, hanya orang berikut yang di benarkan mengira undi:

i.              Anggota dan pegawai SPR
ii.             Pegawai yang dilantik oleh SPR
iii.            Kerani yang mengira undi
iv.           Calon, ejen pilihanraya serta ejen mengira undi[16]


7.4.4      KEPUTUSAN PILIHAN RAYA

Keputusan pilihan raya akan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya  mengikut kawasan tersebut. Mana-mana calon yang mendapat undi terbanyak akan di anggap menang dalam pilihan raya tersebut. Seterusnya, keputusan bagi seluruh kawasan pilihan raya akan diumumkan dan parti yang menang dengan kelebihan kerusi majoriti akan membentuk kerajaan.[17]

Walau bagaimanapun, keputusan pilihan raya boleh di cabar melalui mahkamah sekiranya berlaku:

i.              Penyogokan atau perbuatan yang menyalahi undang-undang
ii.             Tidak mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya
iii.            Calon atau ejen calon hilang kelayakan
iv.           Berlaku penipuan dan ugutan


7.5  KOMPONEN PARLIMEN

Parlimen merupakan badan perundangan bagi Malaysia dan kedudukannya terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian 4, Bab 4, Perkara 44-65. Parlimen merupakan satu badan yang menunjukkan sekali lagi tentang kewujudan demokrasi berparlimen melalui pemilihan ahli-ahlinya dalam Dewan Rakyat melalui pilihanraya. Badan ini mempunyai tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agung, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

7.5.1      YANG DI-PERTUAN AGUNG
7.5.2       
YDPA dilantik lima tahun sekali daripada kalangan sembilan orang raja Melayu yang dipilih oleh Majlis Raja-raja. Antara tugas YDPA ialah:

i.              Bidang kuasa Pentadbiran (Eksekutif),
ii.             Bidang kuasa Perundangan (Lagislatif),
iii.            Bidang kuasa Kehakiman (Judisiari),
iv.           Kuasa Budi bicara,
v.            Tugas-tugas lain.

Dalam badan ini, YDPA bertindak sebagai Ketua Negara  berkuasa untuk:

i.              memanggil Parlimen bersidang, menangguh dan membubar Parlimen,
ii.             meluluskan Rang Undang-undang(RU2).

Walaubagaimanapun, terdapat perkara yang tidak boleh dilakukan oleh YDPA menurut Perkara 34, Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu:

i.              Baginda tidak boleh menjalankan tugasnya sebagai raja di negeri baginda, kecuali tugas-tugas baginda sebagai ketua agama Islam.
ii.             Baginda tidak boleh memegang sesuatu jawatan yang baginda ada apa-apa saraan.
iii.            Baginda tidak boleh mengambil bahagian yang aktif dalam apa juga perusahaan.









Bil.

Dewan Rakyat
Dewan Negara
1.
Syarat kelayakan ahli
21 tahun ke atas
30 tahun keatas                                  
2.
Tempoh jawatan
5 tahun
3 tahun
(2 penggal= 6 tahun)
3.
Bilangan ahli
219 orang ahli
69 orang
1. 2 orang bagi setiap negeri yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri (DUN)
2. 2 orang wakil dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang wakil dari Wilayah Persekutuan Labuan yang dilantik oleh YDPA
3. 40 orang ahli yang dilantik oleh YDPA
4.
Sebab-sebab hilang kelayakan
1.  Gila / tidak sempurna akal
2.  Muflis-yang belum dibebaskan lagi
3.  Pegang jawatan bergaji sepenuh masa dalam perkhidmatan awam
4.  Tidak hadir dalam persidangan Dewan Rakyat selama 6 bulan berturut-turut tanpa izin dari Dewan rakyat
5.  Gagal menghantar penyata perbelanjaan pilihanraya dalam tempoh yang ditetapkan setelah mengambil bahagian dalam pilihanraya
6.  Sabit kesalahan jenayah dalam mana-mana Mahkamah Persekutuan-penjara tidak kurang 1 tahun, denda tidak kurang RM2000 dan tidak mendapat pengampunan
7.  Memperoleh kewarganegaraan asing secara sukarela dan memberi taat setia kepada Negara itu.
1. Dilucutkan jawatan-dengan sebab.
2.  Meletak jawatan.
5.
Tugas/ bidang kuasa
- Tugas Dewan Rakyat-menggubal dan meluluskan Rang Undang-Undang (RU2)
- RU2 kewangan hanya boleh dimulakan perbahasannya di DR.
- Tugas DN-membahas RU2 lebih teliti
- Dewan Negara tidak boleh menolak RU2 yang telah diluluskan oleh DR tetapi berkuasa untuk menangguh RU2.
- Penangguhan bagi RU2 kewangan hanya boleh dibuat selama sebulan dan bagi RU2 lain boleh ditangguhkan selama setahun

Kesimpulan

Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan asas penting dalam undang-undang negara. Tanpa perlembagaan, sistem pemerintahan dan  kawalan sukar dilaksanakan. Hal ini bertunjangkan kepada pembentukan awal perlembagaan yang mendapat persetujuan ramai. Malah jika dilihat, sebenarnya perlembagaan merupakan dasar kepada pembentukan demokrasi berparlimen di Malaysia. Maka dengan itu diharap setiap warganegara sama ada pemerintah dan rakyat mendapat hak masing-masing dan pembelaan sewajarnya.





RUJUKAN



1.            Mardiana Nordin & Hasnah Hussin (2004), Pengajian Malaysia, Selangor: Fajar Bakti.

2.            Ruslan Zainuddin, Mohd Mahadee Ismail & Zaini Othman (2005), Kenegaraan Malaysia, Shah Alam: Fajar Bakti.

3.            Hamidon Pawanteh (2005), Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia, Cerdik Publications.

4.            Ranjit Singh Malhi (2005), Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia (2005), TQM Consultants Sdn. Bhd.




[1] Mardiana Nordin & Hasnah Hussin (2004), Pengajian Malaysia, Selangor: Fajar Bakti, hlm. 139.
[2] Ibid.

[3] Ibid, hlm. 140.
[4] Ibid.
[5] Ibid, hlm. 141.
[6] Ibid.

[7] Ibid, hlm. 137.
[8] Ibid.
[9] Ibid, hlm. 138.

[10] Ruslan Zainuddin, Mohd Mahadee Ismail & Zaini Othman (2005), Kenegaraan Malaysia, Shah Alam:Fajar Bakti, hlm 205.
[11] Ibid, hlm. 205-206.
[12] Hamidon Pawanteh, Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia (2005), Cerdik Publications:, hlm. 95.
[13] Mardiana Nordin & Hasnah Hussin, Pengajian Malaysia , hlm. 113.
[14] Ibid.
[15] Ruslan Zainuddin, Mohd Mahadee Ismail & Zaini Othman, Kenegaraan Malaysia, hlm. 206.
[16] Ranjit Singh Malhi, Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia (2005), TQM Consultants Sdn. Bhd.:, hlm.128.
[17] Ruslan Zainuddin, Mohd Mahadee Ismail & Zaini Othman, Kenegaraan Malaysia, hlm. 207

No comments:

Post a Comment